Haramkah Mewarnakan Rambut Dengan Warna Hitam? Ini Jawapanya

“Boleh tak jelaskan berkaitan masalah mewarnakan rambut? Sebab kasihan suami saya, dia muda lagi tapi rambut dah putih beruban.” Soal seorang isteri yang prihatin akan suaminya.

Ramai juga orang bertanyakan hal yang sama sebelum ni.

Sebagaimana biasa, saya perlukan sedikit masa untuk membuat rujukan, menyusun dan menulis. Nak tulis artikel berbentuk hukum perlu berhati-hati.

Ok baik, dah bersedia untuk membacanya?

Tarik nafas. Perhatian, tak digalakkan jika tengah kusut masai ya. Nanti salah faham. Pastikan senyum dan tenang.

Kita teruskan kepada pembahagian kaedah mewarna rambut (صبغ الشعر) atau disebut Hair coloring/hair dyeing. Ada dua bahagian:

1. Hukum Mewarnakan Rambut Selain Warna Hitam

2. Hukum Mewarnakan Rambut Dengan Warna Hitam

Apakah hukum mewarnakan rambut selain warna hitam?

Hukumnya adalah sunat. Terdapat banyak hadis menyebut tentangnya.

Dalilnya:

عن عثمان ابن عبد الله بن موهب قال دخلت على أم سلمة فأخرجت الينا شعرا من شعر النبي صلى الله عليه وسلم مخضوبا

Daripada Usman Bin Abdullah Bin Mauhab katanya: “Telah masuk kepadaku Ummu Salamah lalu mengeluarkan kepada kami sehelai rambut Nabi SAW yang berwarna.”

[al-Asqalani, Jil.10, 352]

Hadis lain pula menyebut:

حديث أبي هريرة رضي الله عنه ، أن النبي صلى الله عليه وسلم قال : إِنَّ الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى لاَ يَصْبُغُونَ، فَخَالِفُوهُمْ

Daripada Abu Hurairah r.a katanya, sabda Nabi SAW:

“Sesungguhnya kaum Yahudi dan Nasrani tidak mewarnai rambut maka berbezalah kamu semua dengan mereka.”

[Sahih Muslim Bi Syarh al-Nawawi, Jil.14, 137. Sohih al-Bukhari Bi Syarh Fathu al-Bari, Jil.10, 354]

Ada hadis lain menyebut tentang mewarnakan rambut dengan inai:

عَنْ أَنَسٍ ، أَنّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : اخْتَضِبُوا بِالْحِنَّاءِ فَإِنَّهُ يَزِيدُ فِي شَبَابِكُمْ وَنِكَاحِكُمْ

Daripada Anas r.a bahawa seorang lelaki telah masuk kepada Nabi SAW dengan keadaan rambutnya dan janggutnya putih.

Nabi bertanya: “Adakah kamu muslim?”

Dia menjawab: “Ya.”

Sabda Baginda: “Warnailah.”

[Hadis Riwayat al-Bazzaru].

Namun ada beberapa hadis lain menyebut Rasulullah SAW tidak mewarnakan rambut kerana tiada hajat berbuat demikian. Ini kerana hanya sedikit saja uban di rambut Rasulullah SAW dalam lingkungan 20 helai saja. Ini disebutkan oleh hadis berikut:

Dalilnya:

عن حميد، قال: فقد سُئِل أنس بن مالك رضي الله عنه: أخضب رسول الله صلى الله عليه وسلم؟ قال: إنه لم يرَ من الشيب إلا نحو سبعة عشر أو عشرين شعرة في مقدم لحيته

Daripada Humaid katanya: “Ditanya Anas bin Malik adakah Nabi SAW mewarnai?”

Jawabnya: “Dia tidak melihat daripada rambut uban pada Nabi SAW kecuali tujuh belas atau dua puluh helai sahaja di depan janggutnya.”

[Hadis Riwayat Ibnu Majah di dalam sunannya]

Jadi, konklusinya jika mahu memakai pewarna rambut harus dilihat beberapa aspek:

1. Beruban. Bila dah beruban, diharuskan pakai warna selain hitam. Seperti warna inai yang Perang kemerah-merahan atau Kuning, Golden Brown, Mahogany, Burgundy dan Dark Brown.

Janganlah pakai warna pelik-pelik macam biruke, hijauke, warna-warni hari raya ke. Lain macam orang tengok nanti. Dahla menyalahi warna asal rambut.

2. Hendaklah pewarna tidak menghalang air wudhuk atau mandi hadas untuk sampai.

Dipasaran kita menurut kajian ada dua jenis pewarna, iaitu permanent dye atau semi permanent dye. Menurut sumber lagi, jenis semi permanent dye tidak menyerap air. Justeru, berhati-hatilah ya.

3. Bahan-bahan hendaklah daripada sumber halal lagi baik. Contohnya pewarna yang menggunakan bahan-bahan organik seperti ekstrak dan perapi semula jadi yang mengandungi protein dan vitamin serta ekstrak buah dan Aloe Vera.

4. Tidak memudharatkan kesihatan pemakai. Kerana ada pewarna rambut kekal atau semi kekal (menggunakan selain inai), keduanya mengandungi hydrogen peroxide yang mengubah warna pigmen rambut.

Juga ada yang jenis kulit sensitif apabila terkena pewarna. Jadi perlu berhati-hati.

5. Harus untuk isteri hiaskan kepada suami sendiri sahaja. No problem.

Haram jika dedah aurat rambut (free hair) dan mewarnakannya untuk tatapan umum.

Baik, selesai bahagian pertama. Anda ok? Kalau ok. Betul ni ok? Alhamdulillah.

Mari kita masuk bahagian kedua pula.

Apakah hukum mewarnakan rambut dengan warna hitam?

Fuqaha’ berselisih pendapat tentang hal ini. Ada berpandangan haram, dan ada makruh.

Justeru, saya hanya menukilkan pandangan yang cenderung mengatakan haram. Ini pandangan yang dipegang mazhab Syafie’ selari dengan amalan masyarakat Malaysia. Juga pandangan Mufti Wilayah Persekutuan.

Mazhab Syafie’ menyatakan haram berdasarkan dalil-dalil yang akan saya tuliskan.

[al-Asqalani, 352. Sunan Ibnu Majah, Kitab al-Libas, Jil.2, 288]

Dalam kitab Hasyiah al-Bujairimi menyebut:

“Seseorang lelaki mewarnakan janggutnya dengan menggunakan inai adalah sunat, adapun dengan warna hitam hukumnya haram kecuali untuk peperangan kerana kehitaman pada janggut menunjukkan kekuatan.”

Dalilnya:

يكون في آخر الزمان قوم يسودون أشعارهم، لا ينظر الله إليهم يوم القيامة

Daripada Ibnu Abbas r.a katanya: “Sabda Nabi SAW: Akan tiba pada akhir zaman nanti satu kaum yang mewarnakan rambut mereka dengan warna hitam. Allah tidak akan melihat kepada mereka.”

[Sunan an-Nasai’, 138. Sunan Abi Daud, Jil.4, 78. Musnad al-Imam Ahmad, Jil 1, 273]

Jadi ini menunjukkan bahawa Nabi SAW melarang mewarnai rambut dengan warna hitam serta menyuruh agar menjauhi warna hitam.

Ok baik, disini saya simpulkan tentang mewarnakan rambut dengan pewarna hitam adalah seperti berikut:

1. Di sisi mazhab Syafie’, haram hukumnya mewarnakan rambut dengan warna hitam. Titik.

2. Apabila orang tua mewarnakan rambut warna hitam, seolah-olah dia macam tampak muda, tampan segak bergaya. Ini adalah satu helah dan penipuan. (Ibu-ibu kena alert bila suaminya dah berumur tapi berjiwa muda lain macam)

3. Kecuali, jika di dalam peperangan maka dibolehkan lelaki tua beruban mewarnakan dengan warna hitam untuk menggerunkan musuh. (Psikologi dalam peperangan)

Alhamdulillah, selesai sudah perbincangan kedua-dua bab di atas. Diharap pembaca jelaslah ya? Semoga Allah membuka pintu hati kita menerima ilmu-ilmu bermanfaat dunia akhirat.

Kata orang, “Rambut sama hitam, hati lain-lain.” Eh ada kaitanke?

Boleh share ke seluruh pelusuk negeri dan tanahair tumpah darahku.

Haramkah Mewarnakan Rambut Dengan Warna Hitam?

Dipetik Dari Facebook Farid Rashidi, Follow (Set See First) beliau untuk terus mendapatkan perkongsian penulisan bermanfaat dan info agama. InsyaAllah.

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *