9 Makanan Semula Jadi Rangsang Otak
Semua ibu bapa pasti berharap anak mereka memiliki otak cerdas dan berbakat. Selain galakan daripada ibu bapa, pemakanan yang seimbang dan mengandungi khasiat tertentu dapat meningkatkan kecerdasan otak bayi seawal usia.
Justeru, ibu bapa memainkan peranan penting dalam memastikan anak mereka menjauhi makanan yang tidak menyihatkan seperti makanan mengandungi bahan kimia yang bukan saja memberi kesan terhadap kesihatan tapi menyebabkan anak tidak dapat memberi tumpuan ketika belajar.
Berikut disenaraikan sembilan makanan semula jadi yang dapat merangsang kecerdasan otak bayi dan kanak-kanak yang boleh diamalkan sejak usia bayi menerima makanan pejal.
1. Ikan
Pakar sering menyarankan untuk memilih ikan mengandungi asid lemak bermanfaat seperti salmon kerana ia sumber terbaik asid lemak omega-3 yang penting untuk fungsi dan pertumbuhan otak anak.
Beberapa kajian juga membuktikan, mereka yang gemar memakan ikan mengandung omega-3 memiliki daya fikiran tajam dan mencatat hasil baik dalam ujian kemampuan mental.
2. Telur
Ia sangat mudah dan murah, juga amat berkhasiat. Telur ialah sumber protein – kuning telur mengandungi kolin yang berkhasiat membantu perkembangan otak. Biasakan secara rutin memberikan sarapan atau makan malam yang sihat untuk anak dengan menu daripada telur.
3. Kacang
Kacang kaya vitamin E dan antioksidan yang dapat melindungi membran sel otak daripada radikal bebas terutama kacang macadamia dan badam. Untuk hasil terbaik, pilihlah kacang yang rendah gula dan natrium.
4. Sayuran berwarna
Tomato, bayam atau labu ialah makanan yang kaya antioksidan. Makanan ini dipercayai dapat membantu mempertahankan kekuatan dan kesihatan membran sel. Semakin segar dan cerah warna sayuran, makin tinggi kandungan antioksidannya. Beberapa sayuran juga memiliki manfaat mencegah kanser.
Oat mengandungi karbohidrat yang akan diserap secara berperingkat oleh otak anak selama proses belajar di sekolah. Oat juga sumber yang baik untuk vitamin E dan B serta potasium dan zink yang membantu tubuh dan otak bekerja secara optimum.
6. Buah beri
Buah seperti strawberi, beri biru dan beri hitam kaya zat antioksidan seperti vitamin C. Sejumlah kajian menunjukkan buah beri dapat memperbaiki daya ingatan. Beri biru dan strawberi patut menjadi pilihan terbaik untuk makanan otak anak. Dalam satu kajian menunjukkan makanan yang mengandungi kadar flavonoid tinggi (strawberi, beri biru dan jenis beri lain) dapat memperlambatkan penurunan fungsi kognitif otak.
7. Kacang hijau
Makanan ini salah satu yang sangat disarankan untuk anak kerana kandungan nutrisinya yang sangat lengkap. Selain tinggi kadar protein dan karbohidrat kompleks, kacang hijau juga memiliki kandungan vitamin C, asid folat, zat besi, zink, potasium, magnesium, tembaga, mangan, fosfor dan tiamin yang semuanya penting bagi tubuh dan perkembangan otak.
8. Susu dan yogurt
Produk tenusu termasuk yogurt ialah makanan yang kaya protein, vitamin D dan B yang berperanan penting dalam pertumbuhan jaringan otak, neurotransmitter dan enzim. Yogurt ialah makanan yang semi padat sehingga lebih mudah dicerna dalam proses metabolisme tubuh.
Penelitian terbaru juga menunjukkan, kanak-kanak dan remaja memerlukan vitamin D 10 kali lebih banyak daripada yang disarankan. Vitamin D berguna untuk memelihara siklus hidup sel serta fungsi saraf dan otot.
9. Daging lembu bebas lemak
Makanan ini ialah sumber zat besi yang dapat membantu anak kekal bertenaga dalam memberi tumpuan di sekolah. Daging lembu tanpa lemak ialah sumber terbaik zat besi kerana mudah diserap oleh tubuh. Faktanya, 28 gram daging lembu setiap hari membantu tubuh menyerap zat besi daripada sumber makanan lain. Daging lembu juga mengandung zink yang membantu memelihara daya ingatan.
Sumber: Dr Zubaidi Hj Ahmad