Cara Hilangkan Sembelit Secara Semulajadi Tanpa Perlu Makan Ubat
Secara amnya sembelit bukanlah sesuatu yang berbahaya. Masalah ini datang dan pergi. Kadang kala tak perlu ubat pun. Ubat selalunya saya akan berikan jika pesakit saya sudah mencuba beberapa tips (yang bakal saya kongsikan) tetapi masih lagi tidak berjaya mengeluarkan najis dengan mudah.
Antara nasihat saya ialah yang paling utama ialah makan banyak sayur-sayuran, ulam dan buah-buahan. Makanan begini memberikan banyak fiber atau serat. Ini menyebabkan usus besar kita cepat penuh dan merangsangkan pergerakan usus besar. Jadi najis dapat dikeluarkan pada waktunya. Ia mungkin ambil masa tetapi ia berkesan.
Ada yang mengadu “saya dah makan banyak sayur dan pisang tapi masih tak ok”
Tapi kadang kala saya tanya juga banyak makan sayur tu banyak yang macam mana? Kalau sejemput sayur itu belum dikatakan mencukupi. Makan sebji pisang tak cukup untuk membantu sembelit yang sudah berlangsung tiga hari.
Jadi kena banyak makan sayur, ulam dan buah-buahan. Fokus pada makanan yang mempunyai banyak serat. Ia akan membantu, insya Allah.
Dan banyak kajian menunjukkan mereka yang tidak makan sayur, menyebabkan najis berada lama dalam usus besar (kolon dan rectum) boleh meningkatkan risiko penyakit kanser usus (kanser kolon). Terutama mereka yang makan banyak karbohidrat ringkas (refined carbo) dan banyak daging merah.
Kedua, minum air secukupnya. Paling kurang 2 liter sehari. Kecuali bagi pesakit yang doctor kata tidak boleh minum air banyak seperti pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan hemodialysis. Bila minum air yang secukupnya, najis menjadi lebih lembut, mudah untuk dikeluarkan.
Apabila kita kurang minum air, tubuh kita akan menyerap air dari najis yang berada di usus besar iaitu di rectum dan kolon. Jadi najis semakin keras dan sukar dikeluarkan. Jadi minum banyak air kosong. Belajar untuk mencintai air kosong.
Kurangkan minum kopi dan air yang manis. Sebab kopi mengandungi kaffein. Ia menyebabkan kita mudah mengalami dehidrasi. Begitu juga dengan air manis. Jika mahu minum kopi, pastikan juga kita minum air kosong secukupnya. Hentikan minum minuman manis. Cuba biasakan bila pesan minuman ketika makan tengahari, minta air kosng atau air limau kosong. Kenapa mahu minum air manis selepas makan nasi? Nasi akan ditukarkan menjadi gula, air manis pun membekalkan gula. Gula berganda. Penyakit pun berganda.
Sebahagian dari kita mengalami masalah sembelit apabila minum susu. Bagi mereka, hentikan dulu pengambilan susu segar atau susu tepung. Minum air kosong dan banyakkan sayur dalam makanan.
Banyakkan pergerakan fizikal. Banyakkan berjalan. Kurangkan masa duduk lama. Jika sudah duduk lebih dua jam, bangun dan bergerak. Bergerak ke pantry untuk minum air, buat riadah regangan dank e bilik air untuk basuh muka. Pergerakan fizikal akan merangsangkan pergerakan usus.
Sebab itu pesakit di hospital, doctor galakkan berjalan sekitar wad, kecuali mereka yang memang tidak dibenarkan bergerak. Dengan bergerak akan mempercepatkan peraliran darah, jadi darah tidak membeku dan tidak mengalami sembelit.
Saya sendiri mencadangkan pengambilan minyak zaitun setiap pagi bagi memudahkan buang air besar. Minyak zaitun mempunyai banyak manfaat dan antaranya akan memudahkan najis keluar bagi mereka yang mengalami kesukaran buang air besar. Kalau di klinik dan farmasi selalunya kita berikan liquid paraffin iaitu minyak sintetik bagi memudahkan najis dikeluarkan.
Sumber Dari: Dr Zubaidi Hj Ahmad