Hari ni saya kongsikan satu resepi mak bidan saya buatkan untuk saya 15 tahun yang dahulu. Sekali sekala memang saya amalkan petua ini. Syukur masih diberikan rezeki untuk mencari bahan-bahan dan kesihatan yang ampuh melalui pengamalan jamu dari usia muda sampai sekarang yang nak masuk usia 40an. Berikut adalah resepinya.
Jamu Asam Kunyit Herba
Bahan-Bahan:
Segenggam Kunyit matang.
Segenggam Halia Bentong. Kalau tiada halia bentong, boleh pakai halia tua. Makin tua, makin pedas makin tinggi zatnya.
Segenggam Temukunci. Ambil ubi dan jari jemari sekali
Segenggam cekur/kencur. Sama aje kedua duanya. Sini panggil cekur. Indonesia panggil kencur.
Daun Menguku 3 helai kalau besar.
Daun Sirih 3 ke 5 helai ikut saiz.
Air 1 liter
Perisa ikut selera memasing:
Asam Jawa
Gula Melaka
Garam
Lada Hitam untuk yang lepas bersalin boleh tambahkan ketika fasa memblender tu.
Cara Olahan:
1. Cuci bersih bersih kesemua bahan-bahan. Potong kecil kecil dan masukkan ke dalam blender. Kang nanti besar sangat, blender tercekik plak.
2. Masukkan air secukupnya untuk memblenderkan bahan-bahan sampai sebati. Dah sebati tu, tapiskan. Asingkan air dengan hampas tu. Hampas jangan buang. Boleh buat lulur badan nanti.
3. Ambil air yang sudah diblend itu masukkan ke dalam periuk dan masak sampai mendidih. Boleh tambah air ikut keperluan.
4. Waktu memasak boleh ditambah perisa seperti asam jawa, gula melaka atau garam. Ikut citarasa masing-masiing ya. Saya tidak meletakkan gula. Untuk mereka yg baru bersalin, boleh tambah satu sudu kecil lada hitam yang telah ditumbuk. Lada hitam bagus untuk memanaskan badan.
Cara Minum:
1. Minum satu cawan pagi dan satu cawan malam. Amalkan lepas makan. Jangan minum jamu ketika perut kosong, kang tak pasal pasal kena gastrik atau perut sebu.
2. Baki jamu boleh simpan dalam peti. Sebelum minum, panaskan suam suam kuku. Boleh amalkan seminggu dua kali.
3. Untuk yang lepas bersalin, amalkan dua minggu selepas bersalin. Biar hormon badan lepas bersalin stabil dahulu sebelum amalkan jamu. Rajinkan minum air suam bila amalkan jamu supaya lawas.
Khasiat:
Memulihkan tenaga
Memanaskan badan
Melancarkan peredaran darah
Membuang angin
Atasi lenguh lenguh , sengal badan
Mengurangkan bau badan
Mencuci dalaman badan dan menyah toksin
Menghilangkan keputihan
Memulihkan luka dalaman
Mengecutkan peranakkan
Melawaskan pembuangan
Menyerikan wajah
Mencantikkan kulit
Khasiat tinggi
Agen awet muda
Sesuai untuk wanita dan lelaki
Tidak Sesuai Ketika:
Waktu haid
Sedang hamil
Anak kuning/jaundis
Kalau kencing manis, jangan letakkan gula melaka. Boleh gantikan dengan daun stevia kering.
Kalau darah tinggi, jangan masukkan garam. Gula pun kurangkan.
Dikongsi Oleh: Amanda Tan