Tutorial Cara Masak Nasi Putih Dalam Kuantiti Yang Banyak

Back to basic. Berikut adalah TUTORIAL step by step CARA MASAK NASI PUTIH dalam kuantiti yang banyak, nasi yang terhasil GEBU & BERDERAI SEBIJI-BIJI serta NASI TIDAK CEPAT BASI. Tutorial ini saya tujukan khas kepada kawan-kawan yg ingin berniaga nasi bungkus. Kepada kawan-kawan yang berniat sedekah nasi dalam kuantiti yang banyak dan kepada kawan-kawan yang ingin masak sendiri untuk sebarang majlis dan kenduri. Buanglah ragu-ragu dan risau, dan masaklah dengan penuh keyakinan. InsyAllah NASI yang terhasil sungguh memuaskan hati. Selamat mencuba.

Tutorial Cara Masak Nasi Putih Dalam Kuantiti Yang Banyak

Tutorial masak nasi putih yang mudah. Nasi gebu berderai sebiji-biji, nasi tahan lama dan nasi yang terhasil sedap dan wangi.

Bismillah. Kita mulakan dengan periuk nasi itu sendiri. Untuk mendapatkan nasi yang tahan lama atau tidak cepat basi, isikan air di dalam periuk sehingga penuh. Kemudian masak di atas dapur gas sehingga air mendidih. Inilah petua untuk nasi yang tahan lama. Saya suka masukkan beberapa helai daun pandan ketika proses ini. Dapur akan wangi semerbak. Proses masak air sehingga mendidih di dalam periuk nasi ini tidak perlu anda lakukan setiap kali hendak masak nasi. Memadai melakukankannya sekali dalam sebulan. Atau ketika anda ada majlis atau kenduri sahaja.

Sesudah air mendidih, buang air panas tersebut di dalam sinki. Selain kita akan mendapat nasi yang tidak cepat basi, kita juga akan mendapat saluran sinki yang bebas dari kotoran degil seperti minyak tepu yang terhasil dari minyak masak kegunaan harian serta lemak minyak dari ayam dan daging. Kebaikan 2 dalam 1.

Lap kering periuk nasi tersebut dan isikan dengan kuantiti beras yang ingin dimasak. Dalam gambar ini, saya masukkan 6 mangkuk beras biasa. Berat semangkuk beras adalah 500 gram. Maknanya saya masak sekaligus 3 kilo beras. Pastikan periuk anda mampu menampung jumlah beras yang ingin anda masak.

Basuh bersih-bersih beras yang hendak dimasak. Di sini saya TIDAK MENGGUNAKAN TERM ‘cuci beras jangan lebih dari 3 kali sebab nanti vitamin/zat beras akan kurang atau hilang’. A big no! Beras kena cuci bersih dan berkali-kali sampai air basuhan betul-betul jernih dan semua kekotoran atau kutu hilang. Bagi kita yang beragama ISLAM, selawat lah banyak-banyak ketika dalam proses membasuh beras ini. InsyAllah hasilnya akan baik-baik saja.

Setelah siap basuh bersih beras, teknik mengukur sukatan air yang paling MUJARAB adalah dengan menggunakan JARI TENGAH. Masak lah berapa banyak beras pun, 1 kg, 3 kg, 5 kg, 10 kg sekaligus. Tekniknya TETAP SAMA. Ukur menggunakan jari tengah. Tidak perlu ukur beras di bawah dasar periuk, cuma ukur ketinggian air sahaja. Sebelum ukur air, pastikan ratakan dahulu permukaan beras.

Kaji beras yang anda gunakan. Beras yang biasa (tidak keras tidak lembik), sukatan air betul-betul di tengah garisan jari tengah. Macam dalam gambar ini, saya guna beras biasa. Beras yang perlu guna banyak air, sukatan air guna garisan atas jari tengah. Dan beras yang jenis lembut, kurangkan penggunaan air. Gunakan garisan bawah jari tengah. Kawan-kawan boleh rujuk gambar jari tengah yang saya ikat gunakan getah untuk memudahkan kawan-kawan faham sukatan air beras.

Saya gunakan beras biasa. Sukatan air betul-betul di tengah garisan jari tengah.

Bila sukatan air sudah sesuai dengan kuantiti beras yang hendak dimasak, masukkan sedikit garam. Bagi jumlah beras 3 kilo yang saya masak, saya masukkan 2 sudu teh garam. Kemudian ratakan. Garam ini bertujuan agar nasi yang masak menjadi tahan lama, sedap dan kenyal.

Kemudian masukkan beberapa helai daun pandan untuk aroma nasi yang wangi dan menyelerakan.

Bila nasi sudah masak (suis periuk nasi telah naik), kais-kaiskan nasi supaya nasi masak secara rata. Wap yang terkumpul akan keluar dan nasi tidak akan lembab. Inilah petua menghasilkan nasi yang cantik dan tidak cepat basi. Mengikut periuk nasi yang saya gunakan, sekali masak muat untuk 3 kg dan mengambil masa 1 jam. Selamat mencuba.

Bawalah ilmu ini ke mana-mana majlis merewang. Dan masaklah dengan penuh keyakinan.

Tutorial Cara Masak Nasi Putih Dalam Kuantiti Yang Banyak

Tutorial Oleh : Noorastella Muhamma


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *